Sunday, November 10, 2013

Bertilamkan Tanah, Berbumbungkan Bintang


8/11/2013
[Nota: Ini bukanlah artikel selayaknya diterbitkan dalam sebuah majalah atau surat khabar, ini hanya coretan sendiri merumuskan pelbagai situasi yang sedang kita hadapi pada zaman kini. Bahasa yang digunakan santai sahaja]


Bahagian 1


“Bila la aku nak merasa hidup senang. Bawak kereta Audi R8, ada rumah banglo, ada swimming pool Olympic size. Bila la hai! Nasib oh nasib,” rungut Arif.

“Hidup kau ok apa. Rumah teres dua tingkat, makan masih cukup, masih boleh beli yang berkualiti. Kau dapat masuk universiti, sekarang tahun kedua ijazah sarjana muda kejuruteraan lagi. Walaupun  kau takde kereta, kau ada motor. Tak susah-susah kena jalan kaki,” tegur Azam.

“Itu semua belum cukup bagi aku. Kenapa kita tak boleh nak impikan yang baik-baik? Apa salahnya aku nak jadi kaya, hidup senang. Aku tak layak kah?”


Tiada menjadi masalah kita impikan yang indah-indah, tiada menjadi masalah kita ingin memiliki kesenangan hidup, tetapi yang menjadi suatu masalah ialah sudah berapa banyak nikmat Tuhan kurniakan keatas kita, tapi kita kufuri?

Kisah Arif dan Azam ini kisah yang normal. Rata-rata manusia mengharapkan benda yang sama. Siapa tidak mahu hidup senang? Tapi sebanyak manakah kita jadi hambaNya yang sentiasa bersyukur dengan apa yang ada? Kadang-kadang kita lupa, nikmat di dunia fana ini hanya sementara, hidup di dunia bukan selamanya, dan di akhirat sana yang paling utama. Dunia ini ibarat ladang, kita bercucuk tanam, kita jaga tanaman kita dengan baik kerana mengharapkan hasil yang baik. Di akhirat lah masanya kita untuk menuai. Hasil tuaian yang baik, sudah semestinya dari usaha menjaga tanaman kita dengan baik. Tujuan manusia diciptakan hanya dua: jadi hamba kepada Allah (51: 56) dan jadi KhalifahNya    (2: 30)


Bercakap soal syukur, kita masih boleh makan dengan baik, jika tidak banyak, masih dapat sedikit. Kita masih boleh belajar, jika tidak sampai ke manara gading, masih dapat ilmu walaupun sedikit. Kita masih berkeluarga. Jika kita anak yatim piatu, kita masih dapat sokongan sahabat handai dan jiran tetangga. Masih ada yang menjaga kebajikan kita. Jika dibandingkan keadaan kita dengan saudara-saudara islam kita di luar sana, yang diperangi, yang dimusuhi, yang diseksa, yang dibunuh - adakah mereka bernasib baik seperti kita? Ujian Allah beri kepada mereka amat hebat, namun mereka tetap sabar dan tabah, terus melangkah gagah, mara kerana pegang teguh dengan janji Allah yang pasti. Saudara Islam kita di Palestin, Mesir, Syria, Iraq, Chechnya, Rohingya, Kemboja, dan lainnya, mereka hadapi tentangan, ujian dan dugaan yang pelbagai. Masih lagi kita tidak bersyukur?

Beberapa bulan yang lepas kita dikejutkan dengan berita pembunuhan menggunakan pistol merbahaya dan kes bunuh makin meningkat hari demi hari. Sekarang baru kita rasa takut, kerana senario ngeri berlaku di depan mata sendiri. Kalau dulu, kita diberitakan dengan situasi saudara-saudara islam kita disana, kita angguk memahami, hati penuh dengan rasa kasihan dan simpati tapi adakah kita benar-benar menjiwai sengsara yang mereka alami? Kita masih menyokong jenama produk yang menentang saudara-saudara islam kita, kita masih lagi rasa ralat untuk keluarkan duit buat derma, dan sekarang bila kita diuji, baru kita sedar diri. Tanda kiamat makin ketara, pembunuhan yang banyak berlaku merupakan antaranya. Rasululllah (SAW) bersabda: “Sebelum kiamat, terdapat hari-hari tertentu dimana kejahilan akan turun, ilmu diangkat dan banyak berlaku harj. Harj adalah pembunuhan beramai-ramai.” (Sahih Bukhari dan Muslim)


Kita masih lagi boleh tidur bertilamkan katil empuk dan berbumbungkan rumah yang utuh, tetapi mereka sudah lama bertilamkan tanah, berbumbungkan bintang.






Bahagian 2

Apa gunanya hidup,
Hidup takutkan manusia,
Mulut terkunci tak bersuara,
Jantung berdegup kencangnya ketara

Apa gunanya hidup,
Lupa asal dan tujuan,
Tuhan bicara dalam Quran,
Manusia lupa daratan,
Kufur nikmat mereka insan,

Jiwa resah hati bercelaru,
Iman luntur ilmu tidak diburu,
Buang jauh islam yang jitu,
Hati kekal sekeras batu,

Sampai bila kita mahu leka,
Sampai bila kita mahu lena,
Kiamat tandanya makin dekat,
Sudah cukupkah kita bertaubat?

Ruh bakal tinggalkan badan,
Hanya berguna amalan-amalan,
Hidup sia-sia tanpa bekalan,
Sudah bersediakah kita untuk bertemu Tuhan?
11.25 pm
30/10/2013


Tahun 2011, 11 Februari, umat islam terutamanya di Mesir dianugerahkan nikmat yang besar kerana turunnya pemimpin zalim dari jawatan yang tidak berhak keatasnya. Husni Mubarak, akhirnya turun daripada jawatan presiden kerana tuntutan rakyat. Pada 30 Jun 2011 pula, kita dikurniakan kemenangan besar apabila Pilihan Raya Demokratik pertama di Mesir membawa Dr. Mursi, Amir Ikhwanul Muslimin ke jawatan presiden. Sinar baru ini membangkitkan lagi semangat umat Islam di merata dunia, menjadi motivasi, untuk menentang pemimpin zalim dan mendapatkan semula hak asasi mereka yang tercabul. Namun, rampasan kuasa yang dilakukan oleh pihak tentera yang dikepalai oleh Jeneral Al-Sisi pada 3 Julai 2013 ibarat pengulangan memori yang pahit dan luka perit yang masih belum boleh diubati dirobek kembali. Dan hingga kini, bilangan rakyat yang terbunuh di Mesir kerana tindakan kejam tentera untuk membubarkan perkumpulan rakyat makin bertambah. Soal Mesir, kerajaan Arab Saudi sendiri menyokong kudeta yang berlaku keatas rakyat Islam di sana. Saya petik kata-kata Dr Maszlee Malik dalam artikelnya “Mengapa Saudi Menyokong Kudeta?” dalam majalah Al-Ustaz Isu 18, “Rampasan kuasa ini memberikan justifikasi kepada para diktator di Negara-negara teluk yang berhadapan dengan rakyat untuk mengenakan tindakan zalim ke atas rakyat sendiri seperti di UAE, Kuwait dan Bashar di Syria. Tidak hairanlah kerajaan Arab Saudi dan UAE dengan segera menghantar kawat tahniah kepada Jeneral al-Sisi atas kejayaannya menggulingkan kuasa Morsi. Malah, bantuan yang dijanjikan oleh kerajaan Arab Saudi dan UAE kepada pemerintahan pasca-kudeta secara nyata menunjukkan sokongan mereka kepada kudeta dan amaran kepada rakyat mereka sendiri untuk tidak cuba merubah kerajaan. Yang nyata, sokongan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah kepada Negara-negara dictator ini mempamerkan sikap hipokrit mereka dalam isu demokrasi dan hak asasi manusia.” Dan sekarang, Presiden Mursi dipenjarakan di Bur Arab di Wilayah Iskandariah.


4 November lepas rakyat membanjiri jalan raya dihadapan Mahkamah Perundangan sebagai menyatakan sokongan kepada Mursi dan menentang perbicaraan kudeta. Sekarang, tentera As-Sisi masih rakus mencari individu-individu yang terlibat dengan demonstrasi jalanan untuk dihalakan senjata api dan membiarkan berdas-das peluru menusuk kalbu para pejuang agama ini. Apa tanggungjawab kita?


Di Syria, sejak rakyat mulai bangkit pada tahun 2011, sejak itu bilangan rakyat yang dibunuh oleh Laknatullah Bashar Al-Assad makin meningkat. Bermula dengan menyeksa kanak-kanak kecil yang tidak bersalah lagi tidak bermaya dengan mencabut kuku-kuku dan memotong tangan mereka sehingga seorang kanak-kanak terbunuh, dan sekarang diktator yang mengaku dirinya Tuhan masih kekal di posisinya sebagai presiden Syria, dan telah membunuh beratus ribu rakyat Syria termasuk wanita dan kanak-kanak. Namun kebangkitan rakyat makin utuh dan bantuan dari negara luar seperti Turki banyak membantu dari sudut aspek kebajikan pelarian rakyat Syria. Erdogan telah mengeluarkan dana yang besar bagi menampung perbelanjaan buat para pelarian Syria yang dianggarkan lebih sejuta orang selain memberikan perhatian serius terhadap pendidikan buat kanak-kanak dan remaja Syria. Pemimpin seperti Erdogan dan Mursi wajar dijadikan contoh, dan kepimpinan mereka yang berteraskan Islam begitu terserlah.


Tambahan pula, setelah Brunei mengisytiharkan perundangan Islam akan dilaksanakan mulai Oktober lepas, media massa barat terus memberitakan kepada umum bahawa Brunei “introduces tough Sharia Law”, “Brunei provides strict penalties of amputation and stoning for adulterers” dan pelbagai macam komen lagi. Apa yang “menarik” ialah mereka lebih fokuskan kepada betapa beratnya sistem hudud Islam, dan memberikan tajuk headline berkaitan dengan memotong tangan dan rejam, seperti ingin menggambarkan sistem hudud cumalah bertindak zalim. Masyarakat tidak langsung diberitakan faktor dan apa relevannya kerajaan Brunei ingin melaksanakan Hudud. Selain dari memfokuskan bahawa Islam sudah menggariskan panduan dalam menangani kes keselamatan dan meletakkan hukuman yang amat dan paling sesuai dalam mengatasi masalah sosial, pihak liberal dan sekular terus bermain kata dalam memastikan komuniti umum yang tidak cakna dan kurang berilmu untuk membantah sistem perundangan Islam ini. Amat mengkhuatirkan sekarang ialah adakah barat akan duduk diam dan membiarkan Brunei melaksanakan undang-undang Islam? Meskipun hakikatnya itu merupakan hak mereka selaku pemimpin negara, kita tahu musuh-musuh Islam tidak akan membiarkan prinsip politik Islam terlaksana dengan berjaya. Maka itu, doa harus sentiasa juga dititipkan buat Brunei, agar semuanya berjalan lancar disamping umat Islam perlu makin utuh bersatu dalam menghadapi tentangan musuh Islam. Sudah cukup tumpahan darah yang berlaku seperti di Palestin, Rohingya, Syria dan Mesir, bantuan demi bantuan wajib atas kita untuk salurkan.


Mengapakah rata-rata krisis yang berlaku melibatkan umat Islam dan agama yang murni ini sendiri? Tatkala seorang pemimpin berdiri membawa panji Islam, kan diserang wilayah pimpinan pemimpin Islam tersebut dari pelbagai penjuru.  Musuh Islam menyerang kerana Islam jauh dari Sekularisme dan Liberalisme. Mereka tahu Islam itu agama yang satu-satunya benar dan disebabkan kejahilan dan ego serta kerakusan dalam memegang kuasa dan ditenggelami dengan harta benda, mereka tekad meletakkan Islam dan umatnya sebagai “the one and only” target. Sistem politik Islam hanya “merugikan” mereka. Takkan dapat mereka mengecapi kekayaan dengan begitu mudah tanpa sistem politik yang adil dan telus. Rakyat merana dan sengsara disebabkan pemimpin zalim terus berkuasa.


Musuh – musuh Allah ini lupa, dan ibarat tidak kisah dengan bencana yang makin berleluasa. Contoh bencana di Filipina yang amat menggusarkan, taufan Haiyan telah meragut nyawa dengan anggaran mencecah 10,000. Mayat bergelimpangan, rumah dan bangunan musnah hancur berkecai. Masih lagi manusia kufur nikmat, “oblivious” dengan sekeliling dan terus hidup seperti yakin bahawa esok masih ada. Tema “YOLO” (You Only Live Once), “so live your life to the fullest according to your own way,” ibarat jadi satu slogan. Musuh Islam mengaburi mata dan merosakkan jiwa remaja dengan hiburan yang penuh leka. Mereka ingin remaja-remaja Islam terutamanya terus leka dan memastikan hati serta akal fikiran mereka rosak binasa. Sebab itu hiburan mereka penuh unsur porno selain mempromosikan diri manusia itu bukan sesiapa yang punya, boleh hidup ikut cita rasa. Gadis-gadis dijadikan simbol seks, dibogelkan dan memperagakan tubuh badan buat santapan mata pria. Mereka memastikan manusia hidup berlandaskan hawa nafsu. Mereka tahu senjata umat islam ialah doa, dan doa takkan menembusi hijab jika jiwa raga penuh dengan dosa. Ilmu tidak dapat melekat dalam hati jika jiwa bersarangkan titik titik hitam yang sukar dipadam. Wahai pemuda-pemudi Islam, bangkitlah dari lena! Ilmu masih belum penuh didada, kita masih boleh lagi membazirkan masa, mengejar cita-cita untuk menjadi kaya seperti selebriti dunia. Mengejar impian yang tiada langsung elemen-elemen hasrat untuk membantu agama. Kita seharusnya impikan kekayaan, agar kita dapat menyumbangkan harta seluruhnya untuk agama seperti ‘Uthman ibn ‘Affan. Kita impikan kecemerlangan dalam menuntut ilmu, kebijaksanaan dalam mengatur strategi agar kita dapat menyumbangkan daya intelek dan kekuatan seperti ‘Umar Al-Khattab. Kita jadikan Nabi Muhammad SAW sebagai “the one and only” ikutan. Al-Quran satu-satunya panduan. Takkan tersasar jauh kita insan jika berpegang teguh dan thabat di jalan Tuhan. Mantapkanlah ilmu dalam bab akidah, ibadah dan akhlak. Berusahalah cari ilmu dan berguru dengan ‘alim ulamak. Keadaan pemuda kita sekarang makin parah. Tak usah pandang jauh hingga ke Barat dan Timur Tengah. Di Malaysia, gejala sosial yang begitu merunsingkan begitu ketara. Kita yang sedar harus memainkan peranan, membantu saudara Islam yang telah menyimpang dari jalanNya. Bilakah kita ingin menjadi pemuda Islam yang dijanjikan?



Akhir kata, pelbagai senario dan situasi yang berlaku hingga kini semuanya bermatlamat untuk menjatuhkan Islam, cuba untuk melumpuhkan kekuatan umat Islam. Apa mereka peduli, manusia yang tidak bersalah mati terbunuh, mereka terus hidup sebagai pembunuh, lantaran itu mereka membiarkan umat manusia yang sudah bertemu Tuhan yang Esa; ‘bertilamkan tanah dan berbumbungkan bintang’.

No comments:

Post a Comment